Wednesday, March 11, 2009

Dosa kecik...

Oleh: Noramin Nordin (jom-pulun.blogspot.com)

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya turun di suatu tempat di padang pasir yang tandus dan tidak ada tanamannya.

Tetapi dihari itu mereka perlu untuk menyalakan api. Lantas Baginda s.a.w memerintahkan supaya para sahabat mencari dan mengumpulkan kayu-kayu kecil untuk dibuat unggun api.

Sambil mengiyakan perintah Baginda, mereka turut menyatakan kepada Baginda s.a.w bahawa padang pasir ini kosong dan tidak terlihat satu pun akan kayu-kayu kecil disini.

Baginda Nabi s.a.w tetap bertegas supaya setiap orang harus mengumpulkan sebanyak mana yang termampu.

Taat di atas perintah baginda, semua sahabat patuh dan pergi ke padang pasir.

Dengan penuh kesungguhan, mereka mencari cari kayu-kayu kecil dan mengumpulkannya, hingga akhirnya setiap orang berhasil membawa ikatan-ikatan kecil ranting ranting kayu dan dikumpulkan di suatu tempat.

Sebentar kemudian jadilah setumpukan kayu yang telah menimbun.

Kemudian Baginda Nabi s.a.w bersabda : “ Dosa dosa kecil sama seperti kayu kayu kecil ini. Pada mulanya dia tidak tampak dimata, namun setiap sesuatu pasti ada yang mencari dan mengejarnya. Apa yang kamu cari tadi kini telah tertimbun banyak dihadapan mata. Dosa-dosa kamu kelak juga akan dikumpulkan dan dihisab. Suatu hari nanti, kamu akan melihat dosa-dosa kecil yang pada mulanya tidak tampak dimata tiba tiba telah tinggi menggunung "( diadaptasi dari tulisan Aris Awang )

Kisah di atas memberi pengajaran yang besar kepada kita bahawa betapa yang kecil boleh menjadi besar dengan hasil pengumpulannya. Orang melayu ada bermadah " kecil-kecil, lama-lama jadi bukit".

Begitu juga dengan dosa-dosa kecil. Dosa-dosa kecil akan menjadi satu dosa yang besar akibat pengumpulannya. Malah perbuatan menganggap dosa-dosa sebagai kecil adalah sebahagian dari dosa-dosa besar. Dosa-dosa kecil merupakan permulaan bagi dosa-dosa besar.

Perbahasan mengenai perbezaan dosa kepada kecil dan besar adalah satu perbahasan yang cukup panjang. Walaupun ada dikalangan ulama yang menafikan kewujudan dosa kecil, namun begitu sebahagian besarnya bersepakat akan kewujudannya. Dosa pada asasnya ( sebelum dibezakan besar dan kecil) adalah merupakan segala perbuatan yang bertentangan dengan kehendak dan perintah Allah s.w.t. Abdullah bin Abbas pernah berkata : " setiap perbuatan yang menentang agama Allah adalah dosa besar ".

Dosa-dosa boleh dihapuskan dengan beberapa amalan. Dalam sebuah hadis ada menggambarkan bahawa dosa-dosa kecil terhapus ketika seseorang itu mengambil wuduk. Apabila ia membasuh anggota-anggota wuduk seperti kepala, maka hanyutlah dosa-dosa yang berkaitan dengan anggota tersebut sepertimana berguguran daun-daun kering apabila ditiup angin. Adapun dosa besar, ianya tidaklah dapat dihapuskan dengan berwuduk, tetapi ia perlu kepada taubat sebenar-benarnya.

Hari pembalasan dan perhitungan bukanlah sekarang. Tetapi semua itu akan berlaku pada hari kiamat nanti. Disana manusia akan diperlihatkan akan amalan-amalan mereka. Sesiapa yang mati dalam keadaan dia masih melakukan dosa-dosa tanpa sempat bertaubat, maka neraka jahanam akan menantinya disana.

Maal Hijrah- teringat kata org tua2 "sikit-sikit lama2 jd bukit" = "sikit2 lama2 banyak.."
- sama2 kita ingat-memperingati diri kita..

Sunday, March 8, 2009

Kuatnya Hubungan dengan Allah

Tulisan: Dr Badahduh
Alih Bahasa: Maal Hijrah


Sesungguhnya Allah azzawajalla telah memuliakan kita dengan iman dan islam, maka apabila masalah bertambah dan musibah semakin susah, tiada pertolongan kecuali dari Allah subhanahuwata’ala..
“ Dan Demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik Yang kabulkan doa permohonan.” (As-Shaffat, 37: 75)
“Dan Demi sesungguhnya! Kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.. Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan Yang besar;” (As-Shaffat, 37: 114-115)
Dan apabila kemudaratan berganda-ganda dan bertambah-tambah keburukan, tiada yang dapat menyingkapnya selain Allah :
“ Atau siapakah Yang memperkenankan doa orang Yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan Yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat Yang telah lalu) mendiami dan Menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan Yang lain bersama-sama Allah? amat sedikit di antara kamu Yang mengingati (Nikmat Allah itu).” (An-Namlu, 27:62)
Apabila kebimbangan dan kerisauan datang silih berganti, tiada yang dapat menyenangkan kecuali Allah:
“ Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun (nabi Yunus), ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) Dalam keadaan marah, Yang menyebabkan ia menyangka Bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa Yang berlaku) maka ia pun menyeru Dalam keadaan Yang gelap-gelita Dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Yang menganiaya diri sendiri".. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan Dia dari kesusahan Yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang Yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).” (Al-anbiya 21: 87-88)
Dan apabila datang ujian, tiada yang dapat menghindarkannya kecuali Allah:
“ Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Yusuf, 12: 34)
Setiap kali masalah menjadi lebih besar, maka tiada tempat berlindung selain Allah:
“ (Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya Aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran Yang nyata.” (Az-Zariyat 51:50)
Hubungan dengan Allah… Bergantung kepadaNya, yakin dengan janjiNya, mengharapkan pertolonganNya, redha dengan ketentuanNya, suka akan ganjaranNya, takut akan hukumanNya, dan bertawakkal (berserah) kepada kekuatanNya… Itulah tempat pergantungan dalam setiap masalah, dan itulah yang dapat dipercayakan -dengan izin Allah- dalam semua kesusahan.. Rayulah pada Allah, berpeganglah dengan manhaj (tunjuk ajar) Allah, serta pohon, munajat (berdoa dalam sunyi) dan berdoalah kepada Allah:
“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Al-Baqarah, 2:186)
Allah sentiasa memanggil-manggil kita –maha suci Allah-:
“ Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina.” (Ghafir, 40:60)
Dengan adaptasi dari laman web زاد الداعي (bekal pendakwah)