Showing posts with label Terjemah. Show all posts
Showing posts with label Terjemah. Show all posts

Sunday, March 8, 2009

Kuatnya Hubungan dengan Allah

Tulisan: Dr Badahduh
Alih Bahasa: Maal Hijrah


Sesungguhnya Allah azzawajalla telah memuliakan kita dengan iman dan islam, maka apabila masalah bertambah dan musibah semakin susah, tiada pertolongan kecuali dari Allah subhanahuwata’ala..
“ Dan Demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik Yang kabulkan doa permohonan.” (As-Shaffat, 37: 75)
“Dan Demi sesungguhnya! Kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.. Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan Yang besar;” (As-Shaffat, 37: 114-115)
Dan apabila kemudaratan berganda-ganda dan bertambah-tambah keburukan, tiada yang dapat menyingkapnya selain Allah :
“ Atau siapakah Yang memperkenankan doa orang Yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan Yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat Yang telah lalu) mendiami dan Menguasai bumi? Adakah sebarang Tuhan Yang lain bersama-sama Allah? amat sedikit di antara kamu Yang mengingati (Nikmat Allah itu).” (An-Namlu, 27:62)
Apabila kebimbangan dan kerisauan datang silih berganti, tiada yang dapat menyenangkan kecuali Allah:
“ Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun (nabi Yunus), ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) Dalam keadaan marah, Yang menyebabkan ia menyangka Bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa Yang berlaku) maka ia pun menyeru Dalam keadaan Yang gelap-gelita Dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (Ya Allah)! Maha suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Yang menganiaya diri sendiri".. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan Dia dari kesusahan Yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang Yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).” (Al-anbiya 21: 87-88)
Dan apabila datang ujian, tiada yang dapat menghindarkannya kecuali Allah:
“ Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Yusuf, 12: 34)
Setiap kali masalah menjadi lebih besar, maka tiada tempat berlindung selain Allah:
“ (Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya Aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran Yang nyata.” (Az-Zariyat 51:50)
Hubungan dengan Allah… Bergantung kepadaNya, yakin dengan janjiNya, mengharapkan pertolonganNya, redha dengan ketentuanNya, suka akan ganjaranNya, takut akan hukumanNya, dan bertawakkal (berserah) kepada kekuatanNya… Itulah tempat pergantungan dalam setiap masalah, dan itulah yang dapat dipercayakan -dengan izin Allah- dalam semua kesusahan.. Rayulah pada Allah, berpeganglah dengan manhaj (tunjuk ajar) Allah, serta pohon, munajat (berdoa dalam sunyi) dan berdoalah kepada Allah:
“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Al-Baqarah, 2:186)
Allah sentiasa memanggil-manggil kita –maha suci Allah-:
“ Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam Dalam keadaan hina.” (Ghafir, 40:60)
Dengan adaptasi dari laman web زاد الداعي (bekal pendakwah)

Thursday, February 12, 2009

Fikir sejenak, kemudian bersyukur..

Anda haruslah mengingati nikmat Allah kepada diri anda kerana ia mencurah-curah dari atas anda dan dari bawah kakimu.. Allah berfirman “Jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah nescaya kamu tidak akan dapat menghitungnya..” Anda melihat kesihatan pada diri anda, keamanan pada tanah air, makanan, pakaian, udara dan air.. Kamu memiliki dunia, namun tidak merasainya!! Memiliki kehidupan, namun tidak mengetahuinya!! Firman Allah “dan (Allah) menyempurnakan nikmat-nikmatnya ke atas kamu yang zahir atau tersembunyi..”
Kalau anda menghayati dengan bersungguh-sungguh, anda dapati bahawa anda meiliki dua mata, lidah, dua bibir, dua tangan dan dua kaki.. “dan dengan nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?!!”

Adakah sesuatu yang biasa bagi kamu jika kamu dapat berjalan dengan kakimu??! Sedangkan banyak kaki yang kudung!! Adakah biasa bagimu bahawa kamu dapat bergantung pada kakimu sedangkan banyak kaki yang dipotong??!! Adakah kecil bagimu bahawa kamu dapat tidur sedangkan banyak mata tak dapat tidur kerana kesakitan??!! Kamu dapat mengisi perutmu dengan makanan yang lazat dan mair yang sejuk, sedangkan di sana ada yang tidak berselera untuk makan dan mulutnya terasa pahit untuk minum disebabkan penyakit mereka??!!
Hayatilah pendengaranmu, kamu selamat dari pekak.. Amati penglihatanmu, kamu selamat dari buta.. Lihatlah kulitmu, kamu selamat dari kusta.. Perhatikan akalmu, Allah telah menganugerahkan akal padamu dan tidak menjadikan kamu menderita gila dan hilang akal..

Mahukah dua mata kamu itu ditukar dengan segunung emas??!! Sukakah kamu menjual pendengaranmu dengan dua bukit perak??!! Mahukah kamu membeli istana-istana Az-Zahra’ dengan lidah kamu, lalu kamu jadi bisu??!! Adakah kamu akan menukar tangan kamu dengan selonggok berlian dan permata yaqut, lalu kamu kudung?? Sesungguhnya kamu berada dalam kenikmatan dan kelebihan yang banyak, tetapi kamu tak mengetahui.. Kamu hidup dengan rasa bimbang, kecewa, sedih dan hambar!! Sedangkan kamu punya roti enak, air sejuk, tidur yang tenang dan kesihatan yang baik.. Kamu memikirkan yang hilang, tetapi tidak mensyukuri yang ada.. Kamu kesal dengan kerugian harta, sedangkan kamu punya kunci kebahagiaan, dan kebaikan, kebolehan, nikmat dan harta benda yang mencurah-curah.. “dan pada dirimu, tidakkan kamu mengamati?”

Fikirkanlah tentang dirimu, keluargamu, rumahmu, jawatanmu, kesihatanmu, rakan-rakanmu dan dunia sekeliling kamu… Janganlah kamu jadi orang yang Allah sebut sebagai “mereka mengetahui nikmat Allah tetapi mengingkarinya…"

Sumber: Islamonline.net
Penulis: Dr. ‘Aidh Al-Qarni
Alih Bahasa: Maal Hijrah

Wednesday, February 11, 2009

Anda Dalam Kenikmatan!!!

Jika anda mempunyai sebuah rumah untuk berteduh, tempat untuk tidur, makanan di rumah dan pakaian untuk dipakai, maka kamu lebih kaya dari 75% penduduk dunia…

Jika anda punya duit dalam poket dan sebahagiannya dapat disimpan untuk masa-masa perlu, maka kamu salah seorang dari 8% orang kaya dunia…

Jika kamu bangun pagi ini dalam keadaan sihat maka kamu dalam nikmat yang sangat besar.. Ketahuilah!! Terdapat berjuta-juta manusia di dunia ini yang tidak dapat hidup lebih dari seminggu dari sekarang kerana penyakit mereka…

Jika kamu dapat bersolat di masjid tanpa rasa takut diganggu, disiksa, ditawan atau dibunuh, maka kamu dalam suatu nikmat yang tak dapat dirasai oleh berjuta-juta orang…

Jika kamu tak pernah merasai suasana peperangan dan kesepian penjara, serta tidak terdedah kepada ancaman peperangan, maka kamu lebih baik dari berjuta-juta manusia di atas muka bumi…

Jika anda mampu senyum dan bersyukur kepada Allah maka anda di dalam kenikmatan, kerana ada banyak orang yang mampu buat begitu, tapi mereka tidak membuatnya..

Jika anda seorang muslim maka kamu berada dalam kenikmatan kerana di sana ada berjuta-juta orang bukan islam yang mati dalam keadaan kafir… Maka syukurilah Allah atas nikmat Islam…

Jika pesanan ini sampai kepada anda dan anda dapat membacanya, maka anda dalam 2 nikmat:
1. kerana ada orang yang memikirkan tentang kebaikan anda..
2. kerana anda lebih baik dari berjuta-juta manusia di dunia ini yang tidak buta huruf…


Sumber: islamonline.net
Alih Bahasa: Maal Hijrah

Saturday, January 31, 2009

Setahun Berlalu.. dan setahun lagi mendatang..

Setahun Berlalu.. dan setahun lagi mendatang..

Orang cerdik adalah yang belajar dari kelmarin, bersungguh-sungguh untuk hari ini, dan bersedia untuk hari esok..

Penulis: Hasan Abduh Nu’man

Alih bahasa: Maal Hijrah

Sumber: Majalah Almujtama’ (مجلة المجتمع) www.almujtamaa-mag.com

Aku menatapi kalendar yang berada di atas mejaku.. lalu aku teringat, dahulu pada awal tahun kalendar itu mempunyai banyak lembaran.. ketika itu, aku terfikir bahawa ada setahun yang panjang akan aku lalui.. setiap hari aku mengoyaknya selembar demi selembar, tiada kesan yang tampak.. namun, di akhir tahun, aku dapati hanya tinggal beberapa helai sahaja dari kalendar tadi.. 12 bulan telah berlalu, tidak kurang dari 8640 jam, 518400 minit berlalu melengkapi pusingannya, dan 31,104,000 saat berlalu dengan kecepatan jarum saat.. semua telah berlalu dan hilang..

Sekarang, tahun 2008M – 1429H telah hilang dari kehidupan kita.. dan kita saling mengucapkan tahniah dengan kedatangan tahun baru..

Begitulah umur kita.. sejumlah hari dan malam.. setiap kali menghilang satu hari atau berlalu malam, berkurang jugalah baki hari-hari kehidupan kita.. sehinggalah semua baki itu habis, lalu kita akan meninggalkan dunia ini..

Maka, orang yang cerdik adalah yang belajar dari kelmarin, bersungguh-sungguh pada hari ini, dan bersedia untuk hari esok.. salah satu kata-kata hikmat yang terhebat yang mengisahkan pergantian tahun dan perubahan waktu dan manusia, yang membuktikan kesempurnaan keagungan Allah Ta’ala, adalah firman Allah:

(Dia lah Yang awal dan Yang Akhir; dan Yang zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.) (Al-Hadid:3)

Maka, Dialah yang awal, tiada sesuatu sebelumNya.. Dialah yang akhir, tiada sesuatu pun selepasNya.. Dialah yang zahir (jelas) (melalui ciptaan-ciptaanNya) tiada yang lebih zahir darinya.. Dan Dialah yang batin (tersembunyi)(tidak dapat dikesan oleh pancaindera) tiada yang lebih dariNya.. Tiada tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah ! betapa Agung dan Mulianya perihalNya!!

Hasan Basri pernah menyebut “wahai anak adam, sesungguhnya kamu adalah (sejumlah) hari.. apabila berlalu satu hari, maka hilanglah juga sebahagian dari dirimu”

Dalam sebait syair arab:

Sesungguhnya kita gembira dengan satu hari yg kita lalui <> dan sehari berlalu ajal pun semakin mendekati

Mari kita sama-sama berfikir 12 bulan yg telah berlalu.. apa telah kita lakukan? Apa yg telah kita tinggalkan kesan (yg baik)? Apa yg telah kita mulakan? Dan bila akan berakhir apa yg telah mulakan itu? Apa yg telah bertambah dalam kehidupan kita? Dan apa yg telah kita tambahkan dalam kehidupan orang sekeliling kita?

Jika kita telah melakukan yg baik, maka segala puji bagi Allah.. jikalau sebaliknya, maka cepat-cepat mendapatkan semula apa yg telah terlepas.. agar kita dapat gantikan pada tahun hadapan, jika masih ada baki umur..

Seterusnya?

Sekarang kita berada di ambang 365 hari baru.. maka perancangan kita mestilah hebat.. mesti dipenuhi dengan peristiwa-peristiwa penting dan kejayaan demi kejayaan.. ia mestilah menjadi hari-hari yang bersinar dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan,, dan mestilah membawa perkara-perkara positif di dalam dunia ini di bawah payungnya…

Sesungguhnya umat-umat itu dihormati kerana tahun-tahun yang ia bina dan sumbangkan kepada umat manusia.. maka salafussoleh (generasi terdahulu yang soleh) –keredhaan Allah kepada mereka- telah membina ketamadunan islam dalam bentuk yang paling indah hanya dalam tempoh yang singkat sahaja.. sehingga umat-umat lain di timur dan di barat mendapat manfaat dari tamadun islam yang mulia.. semua yang dekat dan yang jauh mengakui kehebatan ketamadunan itu yang terhasil dalam masa singkat selepas kemunculan dan tersebarnya agama islam, melalui kehebatan orang-orang istimewa yang beriman dengan Allah dan rasulnya ini,. Mereka memfokuskan kemampuan berfikir dan kekuatan badan dan masa mereka untuk berkhidmat kepada agama yang Allah redhoi untuk mereka.. maka, masa mereka dirancang dan disusun, mereka tidak mensia-siakan suatu peluang pun dan tidak pula membuang tenaga kecuali untuk membina umat mereka dan meninggikan kedudukan mereka di antara umat-umat dan bangsa-bangsa lain…

Oleh itu, suatu umat yang tidak secara baik memanfaatkan masa tidak akan dapat berada di depan dan menjadi pemimpin.

Perancangan Untuk masa depan..

Antara perkara terpenting yg perlu diberi perhatian ketika akhir-akhir tahun ialah isu perancangan untuk masa hadapan.. bagaimana kita membuat perancangan untuk masa depan umat islam dengan berilhamkan tahun-tahun berlalu, dengan melihat tahun-tahun mendatang, dan mengambil kira keperluan-keperluan umat dan kelemahannya, serta berusaha menampung kebocoran-kebocoran ini di masa depan? Jawapan bagi persoalan ini ialah meletakkan suatu strategi kerja yang baik yang dapat dilaksanakan secara bertahap dan langkah demi langkah.. kerana perancangan masa hadapan haruslah berasaskan pemanfaatan peristiwa-peristiwa lalu –yg jauh atau dekat- sehingga pembinaan ketamadunan umat islam menjadi sempurna, dan ia kembali dihargai oleh semua umat.

Hayati tugas-tugas yang kita perlu lakukan ini:

- Ujian kepentingan: adakah perkara ini sangat penting, dan perlu diutamakan dalam hidupku? Ini kerana banyak aktiviti yang kita lakukan hanyalah kerana kita sukakannya sahaja, bukan kerana ia penting.

- Ujian kepakaran (specialty): adakah perkara ini kepakaranku? Kamu akan dapati banyak tugas yang kamu lakukan bukanlah dalam kepakaran kamu.

- Ujian kemampuan: adakah aku lakukan kerja dengan sebesar mungkin kemampuan yang boleh?

Akhirnya..

Telah tiba tahun baru.. tajuknya adalah cita-cita dan tawakkal kepada Allah.. kerana hari-hari kita telah ditentukan, malam-malam kita pun telah ditentukan, dan kita tertakluk kepada kehendak Allah dan takdirNya.. oleh itu, bergantung kepada Allah adalah keperluan kita pada tahun baru ini.. taqarrub (mendekati) kepadaNya dengan amal-amal soleh, dan menyapu habuk-habuk perbalahan dengan sanak-saudara dan rakan-rakan… tahun yang kita inginkan kasih sayang dan persahabatan di dalamnya.. tahun yang kita inginkan permulaan hubungan baik antara muslimin.. Ibnu Al-Jauzi pernah berkata –semoga Allah merahmatinya- “siapa yang berfikir tentang akibat (buruk) dunia akan berjaga-jaga, dan siapa yang meyakini jauhnya perjalanan akan bersiap untuk bermusafir”…

Sunday, November 9, 2008

Luahan hati seorang Aktivis Dakwah

Assalamualaikum...

Harini 8/11 baru habis second last paper final, Constitutional Law II.. Tinggal lagi satu paper 12/11 nanti.. Rasa cam jauh lagi jer, hehehe.. So, skrg ni bleh la rilek2 sket..

Dalam pada duk rilek n surf internet, terjumpa dengan website yang dikendalikan oleh Fathi Yakan, aktivis gerakan islam di Lubnan serta penulis buku " Apa makna saya menganut Islam", www.daawa.net .. Jadi tergerak untuk berkongsi dengan antum luahan hati beliau dalam salah satu entry.. Artikel ni diterjemah dengan sedikit adaptasi dari bahasa arab.. Semoga bermanfaat.


Buatlah Sesuatu Untuk Islam - إعمل شيئا للإسلام

Sesungguhnya situasi ini sangat memedihkan bagi hati-hati muslim, yang bekerja untuk agamanya, dan memahami firman Allah "Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka."(Al-Nur: 55)

Sampai bila musuh-musuh sentiasa menyembelih, merampas dan membunuh, dan respon kita hanyalah sekadar kutukan-kutukan kemarahan, sedikit sumbangan duit, atau hanyalah mengikuti berita-berita di telivisyen dan surat-surat khabar. Kemudian respon itu pun mereda, dan digantikan dengan futur dan kelemahan, dan kita sekali lagi kembali melakukan kerja-kerja peribadi dan kepada dunia yang fana ini, kepada tidur yang nyenyak. Tidur ini akan berterusan sehinggalah apabila musuh sekali lagi melakukan keganasan, lalu kita sekali lagi respon dengan kemarahan seperti sebelum.. dan begitulah seterusnya.

Kita mesti berfikir! Respon kita mestilah yang berstrategi panjang, strategi yang bertujuan menaikkan kalimah Allah di muka bumi dan memartabatkan islam di seluruh dunia. Ini semua dengan tujuan meraih salah satu dari dua kebaikan, sama ada kemenangan ataupun mat syahid di jalan Allah.

Kita mungkin tertanya-tanya: kenapa semua ini hanya berlaku kepada orang-orang islam?! Jawabannya tentulah lebih diketahui oleh orang-orang islam sendiri sebelum diketahui oleh orang lain. Ini semua adalah kerana mereka telah merendahkan agama mereka, dan keredhaan mereka kepada kehidupan akhirat berbanding akhirat. Orang-orang islam ini menyerah kepada keadaan yang menghina oleh Negara-negara barat, tekanan yang bertujuan menjamin kemaslahatan mereka dan kemaslahatan yahudi semata.

Hasan Al-banna berkata: sesungguhnya umat yang mahir mencipta kematian dan mengetahui bagaimana mati secara mulia, Allah akan menganugerahkan kepadanya kehidupan yang mulia di dunia dan kenikmatan di akhirat. Tiada kelemahan yang telah menghina kita kecuali cinta dunia dan benci mati… Maka siapkan lah diri kamu untuk pekerjaan yang besar, dan sentiasa bersiap untuk mati nescaya kamu akan diberi kehidupan.

Kita harus ketahui bahawa umat islam sekarang hidup dalam suatu kondisi yang paling memalukan sepanjang sejarahnya. Umat ini sangat memerlukan kepada kesatuan saf, mengerahkan tenaga, keikhlasan dalam beramal, kesucian niat, mengumpulkan kemampuan-kemampuan, kekuatan, dan tenaga. Serta memanfaatkan semua itu untuk bersaha keluar dari bencana yang menimpanya. Harus diketahui bahawa umat ini dalam bahaya yang besar jika tidak mendapat perhatian Allah.

Sama-sama kita ingati titah Saidina Umar bin Khattab kepada rakyat Al-Quds sebelum dia kembali ke madinah selepas Islam Berjaya menawan kota itu. “wahai umat islam, sesungguhnya Allah telah menepati janjinya. Dia telah menolong kamu menentang musuh-musuh kamu, mewariskan negeri-negeri ini kepada kamu dan menjadikan kamu berkuasa di mukan bumi. Janganlah kamu membalasnya kecuali dengan kesyukuran. Jauhilah kemaksiatan kerana kemaksiatan ialah kufur dengan nikmat. Tiada suatu kaum yang kufur dengan nikmat kemudian mereka tidak bertaubat, kecuali Allah akan merentap kemuliaan mereka dan menaklukkan musuh ke atas mereka.”

Apakah yang telah kita lakukan untuk menjadikan Allah redha dengan kita? dan seterusnya menguatkan kita, membantu kita, dan mewariskan dunia ini kepada kita agar dunia ini ditadbir dengan keadilan, kasih sayang dan kerahmatan.

Kewajipan yang banyak..

Mari bersama-sama kita mencatit apa yang kita mampu lakukan untuk islam kita, setiap orang sekadar kemampuannya.

Hasan al-Banna telah menyebut banyak kewajipan seorang pemuda islam, yang mampu kita lakukan. Antaranya:

1. Memperbaharui perjanjian dengan Allah azza wajalla untuk kita bekerja unutk islam sehingga berjaya atau beroleh syahadah (syahid)

2. Sentiasa muroqobatullah dan mengikhlaskan niat dalam semua amalan

3. Sentiasa memperbaharui taubat dan istighfar, membebaskan diri dari dosa-dosa kecil lebih-lebih lagi dosa besar, dan bersikap wara’ dalam perkara syubhat supaya tidak terjatuh dalam perkara haram.

4. Memperbaiki bacaan Al-Quran dan mentadabburi makna-maknanya, mengkaji sirah nabi, sejarah-sejarah salaf (orang-orang terdahulu) semampu mungkin. Juga mempelajari asas-asas akidah, cabang-cabang hokum dan rahsia-rahsia syari’ah.

5. Sentiasa melawan nafsu dengan keras agar mudah mengawalnya, menundukkan pandanganmu, dan mengawal perasaan dan syahwat dalam dirimu serta membawanya kepada perkara halal dan menghalanginya dari perkara haram walau sedikit.

6. Memperbaiki solatmu dengan sentiasa menunaikannya di awal waktu di masjid secara berjamaah sekadar kamu mampu.

7. Berpuasa ramadhan dengan sebaiknya.

8. Sentiasalah berdoa dan jadikan lidahmu sentiasa basah dengan zikrullah.

9. Amar makruf dan menegah kemungkaran.

10. Sentiasa berniat untuk berjihad, dan membuat persediaan untuknya semampumu.

11. Membiasakan diri dengan sejenis riadah walaupun berjalan

12. Sentiasa memastikan setiap kerja dilakukan secara sempurna dari segi kualiti, kegigihan , tidak menipu dan menepati waktu.

13. Sentiasa bercakap benar, tidak sekali-kali menipu. Mempunyai kemahuan yang kuat, tidak sekali-kali ragu.. Menepati janji, tidak memungkiri janji dalam apa jua keadaan.

14. Bersikap berani, sanggup menanggung beban. Sebaik-baik keberanian adalah berterus-terang dalam perkara yang hak, menyembunyikan rahsia, mengaku jika tersalah, bersikap adil dan mengawal hati ketika marah.

15. Mendidik anak kamu dengan didikan islam yang benar dan seimbang. Supaya mereka menjadi murni akidahnya, betul ibadahnya, baik akhlaknya, berfikiran luas, kuat badannya, memberi manfaat kepada orang lain, dan menjaga waktu.

16. Memboikot produk-produk amerika dan yahudi. Sebaliknya menyokong produk-produk dan syarikat-syarikat ekonomi orang-orang islam, dan sentiasa memastikan duitmu tidak jatuh kecuali dalam tangan saudaramu walau dalam apa jua keadaan. Janganlah memakai dan makan kecuali dari hasil negeri islam.

17. Kenali musuhmu dan kaji peribadinya sebaik mungkin

18. Sentiasa aktif dan terlatih dalam melakukan khidmat masyarakat, sehingga merasa bahagia jika kamu dapat berkhidmat kepada orang lain, menziarahi pesakit, menenangkan orang susah walau dengan perkataan yang baik, dan sentiasa memberi khidmat dan sumbangan.

19. Jagalah anak yatim, lindungilah perempuan, jalinlah silaturrahmi, maafkanlah orang yang menzalimimu, damaikanlah antara dua pihak, ajarlah orang yang jahil, dan siapkanlah seorang pejuang.

20. Kamu mesti ketahui bagaimana menuntut hak kamu, dan menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurna tidak kurang sebelum mereka menuntutnya, dan janganlah melambat bayar hutang.

21. Berusaha sekadar kemampuan untuk menghidupkan budaya-budaya islam dan memerangi budaya luar dalam semua aspek kehidupan contohnya dalam aspek memberi salam, bahasa, sejarah, pakaian, waktu bekerja dan lain-lain.

22. Memberikan sumbangan untuk menyebarkan islam di semua tempat, menunaikan zakat yang wajib dari hartamu, dan mengkhususkan sebahagian untuk peminta sedekah dan orang miskin.


-the pictures copied from www.daawa.net